Saturday, May 16, 2009

Yang Terpendam (Bhgn II)


Dulu aku sering berangan-angan. Alangkah elok jika dia menjadi pasangan hidupku. Tentunya ibu dan ahli-ahli keluargaku juga dapat menerima kehadirannya dengan hati terbuka. Malangnya kini aku hanya mampu menghela keluh kesah, sedangkan sedari dulu aku langsung tidak berusaha untuk mendapatkannya. Aku punya banyak peluang merapatinya. Kiranya aku sering mempersia-siakan detik berharga itu.

Begitulah dungunya aku. Dan kedunguanku itu jadi sembilu yang kerap menyiksa jiwa. Aku hidup dalam kepompong angan-angan kini. Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan muncul. Segalanya terpendam beku di sudut perasaan. Kalau pun aku luahkan sekarang tiada gunanya lagi. Dia sudah tiada di sisi untuk mendengarnya. Yang ada hanyalah aku dan angan-angan kosong. Aku dan harapan basi!

Dia mungkin telah memulakan episod kehidupan baru, bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Tentulah dia hidup berbahagia. Tak mungkin ada lelaki yang sampai hati mensia-siakan perempuan secantik paras rupanya dan semulia hati budinya. Tak mungkin!

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, dia memang telah menjadi daya tarikan ramai lelaki. Pelajar lelaki mana yang tidak pernah cuba menakluk hatinya. Tetapi dia begitu utuh. Sekukuh Tembok Besar China. Dia begitu keras memperjuangkan cita-citanya melebihi keseronokan cinta remaja yang begitu sementara sifatnya. Itu amat mengagumkanku. Mungkin itu juga yang menyebabkan aku tidak berani menghampirinya. Lelaki kerdil sepertiku yang tidak punya cita-cita besar tidak mungkin membawa apa-apa makna untuk diri dan landasan kehidupannya.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

Masa berlalu dan kami dipertemukan lagi di perantauan. Aku mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke negara Moliere dan Napoleon Bonaparte. Walaupun pengkhususan kursus kami berbeza, tapi kami ditempatkan di universiti yang sama. Sekali lagi aku mensesiakan peluang yang ada, walaupun aku tahu aku berpeluang merapatinya sebagai lelaki dewasa. Aku mempunyai sebab yang tersendiri untuk tidak mendekatinya waktu itu. Ah! Aku dan keegoan...

Seperti biasa, lelaki-lelaki lain dari pelbagai peringkat usia dan warganegara tidak pernah jemu cuba untuk menarik perhatiannya. Dan aku hanya mampu berdiri untuk menyaksikannya. Aku merasakan peluangku begitu tipis mencuri hatinya. Aku tidak senang melihat dia dirapati ramai lelaki. Semacam wujud satu rasa cemburu melihatkan dia dikelilingi lelaki lain. Kalau boleh, aku ingin dia menjadi milikku seorang sahaja. Begitulah individualistiknya diri ini.

Lima tahun berlalu di Benua Tua kusia-siakan begitu sahaja. Sepatutnya aku memanfaatkan kepelbagaian iklim dan suasana bumi Perancis untuk mengajaknya bersiar-siar, mengitari kota romantis dan bersejarah Paris, Bordeaux, Lyon, Marseille, Toulouse dan yang lain-lainnya. Lihat sahaja manusia Perancis. Itulah yang biasa mereka lakukan di waktu kelapangan. Sering membawa kekasih, keluarga atau anak isteri masing-masing bersiar-siar menikmati keindahan alam di bumi Perancis. Malangnya aku hanya membiarkan bumi Perancis didakap musim demi musim, tanpa sebarang ukiran kenangan buat kami berdua. Kami bermukim di bumi yang sama bertahun-tahun. Aku hanya membiarkan peluang itu berlalu sia-sia.

Pernah sekali aku mengajaknya pergi menonton filem tetapi dia menolak. Agaknya dia sibuk dengan kerja-kerja berkaitan kuliah waktu itu. Atau merasa tidak senang untuk keluar. Atau tidak berminat dengan jenis filem yang aku ingin tonton. Atau ada sebab-sebab lain yang tak terjangkau dek fikiranku. Semenjak itu, aku tidak berani lagi mempelawanya ke mana-mana. Aku seolah-olah merasa serik. Mudah benar patah semangatku. Sepatutnya aku meneruskan usaha berkali-kali. Aku jadi begitu takut dia akan menolak pelawaan aku yang seterusnya. Aku pun memaksa diri membencinya. Itu saja yang mampu aku lakukan sebagai langkah drastik. Sayangnya aku tidak mampu membencinya dalam jarak waktu yang panjang. Gadis itu terlalu kudus untuk dibenci. Aku memaafkannya dalam diam.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

Suatu hari dengan tanpa kuduga, kami terserempak di sebuah kedai makan pada suatu petang yang nyaman di pinggir ibu kota. Aku cuba untuk mengelakkannya tapi tidak berdaya kerana dia sudah terlebih dahulu menyapaku. Kami bertukar-tukar khabar dan perbualan seterusnya meleret-leret ke hal-hal peribadi. Tanpa kusedari, tiba-tiba kami sudah berada di suatu sudut restoran, menunggu pesanan.

“Maafkan aku kalau apa yang akan kukatakan nanti bakal menyinggung perasaanmu. Aku ingin meluahkan sesuatu yang telah aku pendamkan suatu masa dulu,” ujarnya berterus terang. Tanpa memberi ruang untuk aku memintas kata-katanya, dia terus menyambung bicara. “Sebenarnya satu waktu dulu aku pernah menyukaimu.” Hatiku berdetik mendengar pengakuannya. Gembira yang bercampur gugup. Semacam ada sirna harapan yang tiba-tiba kembali bercahaya.

“Sebab itulah waktu 'final year' aku selalu mengirim pesanan, telefon, tanya hal kuliah dan khabar berita. Memang aku benar-benar mengambil berat tentang kau waktu itu. Walaupun kita tidak berpeluang keluar bersama. Aku malu memberitahu pada kau hal ini,” akuinya perlahan. Rautnya tunduk ke bawah. “Aku betul-betul mengagumi dulu. Lantas aku jadi tertarik padamu. Aku tak tahulah bagaimana perasaan kau waktu itu.”

Memang kita sama-sama memendam perasaan sebenarnya. Dan kita sama-sama takut untuk memuntahkannya. Itulah yang semestinya aku luahkan sebagai balasan pengakuan si dia. Sebaliknya aku hanya mampu berkata, “Tak mengapalah. Sekarang kita sudah sama-sama dewasa. Kita wajar berfikiran terbuka. Perlu terima hakikat,” ujarku cuba merasionalkannya. Sebenarnya aku ingin jadi seberani dirinya, berterus terang. Itulah sepatutnya yang kulakukan dulu. Tambahan pula aku lelaki, dan dia perempuan. “Memang bagus kau berterus terang,” tambahku lagi cuba menghargai kejujuran dan keberaniannya.

Keadaan jadi sepi seketika. Aku memandang ke luar restoran, cuba-cuba untuk mencari penyambung kata. Si dia masih tertunduk-tunduk, sepasang matanya memerhati gelas minuman yang baru diletakkan oleh pelayan restoran. “Oh, ya! Aku kena pulang sekarang. Ada hal yang perlu aku uruskan,” ujarnya ketika aku berkira-kira mencurahkan isi hatiku pula. Dia mencapai sesuatu dari dalam beg sandangnya, mungkin ingin mengeluarkan ‘business card’ untuk diberi padaku.

“Aku harap kau dapat melapangkan masa datang ke rumah nanti,” ujarnya menghulurkan sekeping kad. Pandanganku masih terpukau pada rautnya yang tiba-tiba bertukar ceria, sedikit bersinar. Dia tidak banyak berubah berbanding dulu. Mungkin hatinya bertukar ceria setelah menemuiku dan mengungkapkan apa yang selama ini terpendam.

Suasana senja mula membungkus persekitaran ibu kota, restoran dan bangunan berhampiran. Kelibat sang gadis telah lenyap dari pandangan, meninggalkan aku bersama kad jemputan majlis perkahwinan yang dihulurkannya sebentar tadi. Aku masih termangu, cuba menelan mentah-mentah realiti kehidupan yang terhidang. Mungkinkah akan ada sambungan pada episod antara aku dan si dia? Hasrat yang kupendam sekian lama kekal terpendam di sudut hati yang rawan...

No comments: