Monday, May 11, 2009

Yang Terpendam (Prolog)


"For that's the way it is with life, as some of the most beautiful days come completely by chance. But even the most beautiful days eventually have their sunsets.
And now, I am going to secure the memories by myself..."


Suatu hari, ketika majlis jamuan Aidil Fitri diadakan di halaman rumah Tuan Pengetua, aku terpandang si dia bersama rakan-rakan sekelas. Seingatku saat itu aku seakan terpaku seketika. Bagaikan ada sejenis tarikan magnetik pada keindahan raut, kesederhanaan tingkah laku dan gaya bersahajanya. Itu bukanlah kali pertama aku terserempak dengannya. Telah beberapa kali aku terpandangkannya. Kami mendaftar di sekolah yang sama semenjak di tingkatan satu lagi. Penduduk di negara tercinta ini mula jatuh cinta dengan kereta nasional. Aku pula belajar mencari apakah makna cinta seorang Hawa.

Dari jauh kulihat dia amat mesra berbual-bual dengan teman-temannya. Rambut keriting halusnya sesekali meremang dihembus manja oleh sang bayu. Satu perasaan aneh menjalar menguasai diri, ingin segera dilepaskan untuk menyapa sang gadis. Namun kupendamkan sahaja rasa hatiku itu. Sudah jadi tabiatku begitu, perahsia. Aku memang tidak betah berterus terang, walau dengan sesiapa pun juga. Di kalangan rakan-rakan rapatku sendiri pun aku tidak gemar mencurahkan pandangan dan isi hati. Mungkinkah itu penyebab kaum lelaki mudah diserang tekanan sakit jiwa dan penyakit-penyakit yang seumpamanya?

Ada sesuatu yang menguatkan rasa yakinku mengatakan hati si dia belum dimiliki lagi. Kerap juga aku melihatnya duduk di kelas, bersendirian. Waktu pelajar-pelajar lain menghabiskan masa riadah petang di padang permainan, dia lebih gemar menelaah di kelasnya. Di waktu yang lain pula, aku sering terserempak dengannya di perpustakaan. Tarikan magnetik semakin kuat untuk kuanggap remeh. Gila! Sawan apakah yang telah menyampukku lalu tiba-tiba menukarku menjadi seorang pemerhati yang tekun pada perjalanan hidup seorang gadis? Wajarkah sikapku memerhatikannya dengan penuh teliti sedangkan antara kami tiada apa-apa ikatan darah?

Sayangnya setiap kali kami berpapasan, aku tidak pernah berani menegurnya. Aku seolah-olah jadi lelaki yang begitu sombong dan punya tembok keegoan yang begitu sukar diruntuhkan. Pada firasatku, si dia pastinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyahut sapaanku. Dia seorang gadis yang mesra. Masalahnya aku berdepan dengan kekakuan dan kekejangan lidah sendiri setiap kali aku cuba membuka bicara. Berhadapan dengannya sahaja sudah cukup membuatkan lututku terasa gementar.

Lalu aku pun merenungnya dari jauh sahaja setiap kali peluang untuk bermesra menjelma. Itu sahaja yang terdaya aku lakukan. Di kelas, di perpustakaan, di padang-padang permainan dan di mana sahaja di kawasan asrama yang aku pergi aku kerap terpandangkan rautnya. Di dewan makan asrama pun aku kerap memerhatikannya, bagaimana dia menyuap hidangan, meneguk minuman, mengunyah makanan atau melayan bicara rakan-rakan di sebelah, sambil sesekali bicara mesranya diselangi senyum simpul atau ketawa rendah. Ternyata dia disukai dan mudah diterima dalam pergaulan. Mungkinkah aku cuba mencari apa yang kurang pada dirinya? Kalau itu yang cuba kucari, jawapannya mungkin belum ada.

Keadaan sebegitu berlarutan sehingga ke penghujung tahun. Aku berada di tingkatan tiga dan peperiksaan SRP menjelang tiba. Aku dan rakan-rakan melaluinya dengan kegusaran yang berbaur harap. Rasanya latihan dan tunjuk ajar yang diberi oleh para guru sudah lebih dari mencukupi. Tapi kami tetap diselubungi kebimbangan. Mampukah kami lulus dengan jumlah aggregat yang dikehendaki oleh pihak sekolah? Andai gagal, kami pasti akan tersingkir.

Tahun baru menjelma dan hampir kesemua pelajar kembali ke Tanjung, asrama penginapan kami. Hanya beberapa orang pelajar yang tidak diterima menyambung pembelajaran di Tingkatan Empat. Yang pastinya si dia tetap meneruskan perjuangan di bumi Tanjung. Sepanjang menuntut di tingkatan empat tak banyak yang kulakukan selain berangan-angan dan mengembangkan daya imaginasi. Tahun itu dianggap tahun untuk berbulan madu oleh kebanyakan rakan - rakanku. Masing - masing kembali melakukan hobi - hobi nakal sebelumnya – menghisap rokok, ponteng kelas, keluar asrama waktu malam, bergaduh sesama sendiri, dan yang seumpamanya. Tidak ada satu pun kesempatan menjelma buat aku dan si dia bertemu. Kami masih manusia yang asing meski pun telah hampir empat tahun berada di satu bumbung sekolah yang sama.

Seiring putaran masa, perhubungan kami bertukar menjadi sedikit erat. Aku dapat rasakan sang gadis semakin mudah mesra denganku. Dia gadis yang sentiasa bersedia untuk diajak berbincang dan petah berbicara. Dia juga tidak teragak-agak menghulur bantuan, material atau moral, jika ianya diperlukan. Kami sering bertukar-tukar bahan rujukan. Kadang - kadang kuselitkan nota tulisan tangan di balik helaian buku rujukannya yang kupinjam. Tiada apa-apa yang serius kutulis. Hanya sepatah dua ayat bernada lucu. Dia pasti membalasnya dengan nada yang sama.

Walaupun perhubungan kami bertambah erat, aku mendapati reaksi dan persepsi dirinya terhadapku masih tidak berubah. Dia hanya menganggapku sebagai rakan biasa. Tak mungkin dia punya perasaan sedalam yang kumiliki terhadapnya. Dia gadis yang punya cita-cita besar dan boleh dikatakan tergolong dari keluarga berada dan intelek. Siapalah aku berbanding dirinya. Aku dan cinta monyetku yang hanya mengindahkan dunia lamunan ciptaanku. Kesedaran itulah yang menyebabkan dadaku berombak setiap kali kami bertentang mata. Aku ingin segera membuka mulut dan melontarkan apa yang terpendam. Tiada apa yang mampu dilontar. Ianya terus kekal terpendam.

Peperiksaan SPM pun berlangsung dan aku menjawab setiap kertas soalan setenang dan seyakin mungkin. Sepanjang minggu peperiksaan aku langsung tidak berpeluang untuk menemuinya. Hanya secebis nota ucapan selamat berjaya yang kuterima dari dirinya seminggu sebelum hari peperiksaan. Ralat juga hatiku kerana sebaik tamat peperiksaan, aku meninggalkan bumi Tanjung tanpa menemuinya buat kali terakihir. Akhirnya si dia telah pun hilang dari pandangan...

No comments: