Saturday, May 23, 2009

Cerita pasal herba ekor kucing :)


Pernah dengar pasal tumbuhan herba yang dipanggil pokok Cattail (Ekor Kucing)? Ada terbaca kat paper minggu lepas, tu yang nak share kat sini :)

Menurut penulis artikel tu, Cattail atau pokok banat sekarang semakin popular dalam seni hiasan landskap. Sekali pandang macam lalang, tapi kalau dalam kuantiti yang banyak, ia akan nampak menarik. Bunganya berwarna keemasan, merah, kuning jingga atau coklat gelap berbentuk seperti cerut dan sosej dicucuk lidi.

Dalam perubatan tradisional pulak, rumpai Ekor Kucing ni digunakan untuk merawat luka, melecur dan juga masalah kulit seperti jerawat atau kesan tompok selepas terkena demam campak. Bunga Cattail pula boleh dibakar untuk menghalau nyamuk dan agas. Hm.. banyak juga kegunaan rumpai Ekor Kucing ni ya.. :)

Selain pokok Cattail, satu lagi tumbuhan herba yang mengaitkan dengan kucing ialah herba Misai Kucing.

Update...

Apa nak buat kalau dah bosan buat kerja kat ofis..? Update blog le..:) ni pun tak tau apa nak update, so letak gambar ni je la..

Friday, May 22, 2009

Jalan-Jalan Cari Makan

Memang dah dasar Jawa Ranger, kalau cari tempat makan, mesti nakkan makanan ala2 jawa jugak :).. Petang Jumaat, selesai solat Jumaat, saya pun memandu tanpa tujuan. Hm.. sebenarnya ada tujuan, iaitu nak mengisi perut yang dah hampir nak berkeroncong. Tapi tak tau nak makan apa dan di mana. Maka saya pun menyesatkan diri di Bandar Puteri, Puchong. Dan akhirnya kaki saya telah pun melangkah ke satu sudut restoran tanpa disedari (ni pun tipu je.. 100% sedar sebenarnya :) .. saja nak bagi ayat menarik sikit).

Nampak tak plak "Jalan-Jalan Cari Makan" yang digantung kat dinding tu? Pekerja restoran ni kata 7hb Jun nanti rancangan JJCM akan buat citer pasal restoran ni. Fuh hebat jugak tu. Dia pun terus recommend menu utk diorder tanpa saya tanya dia apa2 pun. Dan saya pun terus setuju dengan recommendation dia tanpa fikir apa2 pun dan terus order :)

Ni dia order yang mula2 sampai.. "Es Merah Delima" dan air suam.. tak ada kesilapan typo di sini. Memang ejaan kat menu macam tu. Lepas tu sempat belek2 jam dan amik gambo lagi :)

And then, menu utama pun sampai.. Nasi Ayam Panggang. Tanpa menunggu jarum saat mencecah angka 12, si penulis blog ni pun menyerang set ayam panggang dan nasi yang dihidangkan. Lapar la katakan...Opps.. lupa pulak beta nak amik gambar menu utama tadi..Isk isk memang sah kebulor.

Tu dia posing ayam panggang yang dah hampir langsai, yang lain semuanya selamat masuk dalam perut. Kalau nak cuba makanan kat sini, restoran ni ada kat No. 60, Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri, Puchong. Memang sodap makanan dia. Waktu operasi 11pagi-11malam. Nama tokey restoran ni Fungsiwaty.. memang betul2 berfungsi dia ni :) No. telefon tokey saya tak boleh bagi takut korang sumer ngorat dia nanti kah kah kah!

Tu dia nama restoran dah terpampang.. Restoran Anggrek kuning.. Ada bunyi jawa tak? he he..

Lepas makan balik rumah pekena ais krim perisa vanilla pulak. Hm... sedap :)) Ais krim ni boleh cari kat kedai HPA.

Saturday, May 16, 2009

Yang Terpendam (Bhgn II)


Dulu aku sering berangan-angan. Alangkah elok jika dia menjadi pasangan hidupku. Tentunya ibu dan ahli-ahli keluargaku juga dapat menerima kehadirannya dengan hati terbuka. Malangnya kini aku hanya mampu menghela keluh kesah, sedangkan sedari dulu aku langsung tidak berusaha untuk mendapatkannya. Aku punya banyak peluang merapatinya. Kiranya aku sering mempersia-siakan detik berharga itu.

Begitulah dungunya aku. Dan kedunguanku itu jadi sembilu yang kerap menyiksa jiwa. Aku hidup dalam kepompong angan-angan kini. Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan muncul. Segalanya terpendam beku di sudut perasaan. Kalau pun aku luahkan sekarang tiada gunanya lagi. Dia sudah tiada di sisi untuk mendengarnya. Yang ada hanyalah aku dan angan-angan kosong. Aku dan harapan basi!

Dia mungkin telah memulakan episod kehidupan baru, bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Tentulah dia hidup berbahagia. Tak mungkin ada lelaki yang sampai hati mensia-siakan perempuan secantik paras rupanya dan semulia hati budinya. Tak mungkin!

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, dia memang telah menjadi daya tarikan ramai lelaki. Pelajar lelaki mana yang tidak pernah cuba menakluk hatinya. Tetapi dia begitu utuh. Sekukuh Tembok Besar China. Dia begitu keras memperjuangkan cita-citanya melebihi keseronokan cinta remaja yang begitu sementara sifatnya. Itu amat mengagumkanku. Mungkin itu juga yang menyebabkan aku tidak berani menghampirinya. Lelaki kerdil sepertiku yang tidak punya cita-cita besar tidak mungkin membawa apa-apa makna untuk diri dan landasan kehidupannya.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

Masa berlalu dan kami dipertemukan lagi di perantauan. Aku mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke negara Moliere dan Napoleon Bonaparte. Walaupun pengkhususan kursus kami berbeza, tapi kami ditempatkan di universiti yang sama. Sekali lagi aku mensesiakan peluang yang ada, walaupun aku tahu aku berpeluang merapatinya sebagai lelaki dewasa. Aku mempunyai sebab yang tersendiri untuk tidak mendekatinya waktu itu. Ah! Aku dan keegoan...

Seperti biasa, lelaki-lelaki lain dari pelbagai peringkat usia dan warganegara tidak pernah jemu cuba untuk menarik perhatiannya. Dan aku hanya mampu berdiri untuk menyaksikannya. Aku merasakan peluangku begitu tipis mencuri hatinya. Aku tidak senang melihat dia dirapati ramai lelaki. Semacam wujud satu rasa cemburu melihatkan dia dikelilingi lelaki lain. Kalau boleh, aku ingin dia menjadi milikku seorang sahaja. Begitulah individualistiknya diri ini.

Lima tahun berlalu di Benua Tua kusia-siakan begitu sahaja. Sepatutnya aku memanfaatkan kepelbagaian iklim dan suasana bumi Perancis untuk mengajaknya bersiar-siar, mengitari kota romantis dan bersejarah Paris, Bordeaux, Lyon, Marseille, Toulouse dan yang lain-lainnya. Lihat sahaja manusia Perancis. Itulah yang biasa mereka lakukan di waktu kelapangan. Sering membawa kekasih, keluarga atau anak isteri masing-masing bersiar-siar menikmati keindahan alam di bumi Perancis. Malangnya aku hanya membiarkan bumi Perancis didakap musim demi musim, tanpa sebarang ukiran kenangan buat kami berdua. Kami bermukim di bumi yang sama bertahun-tahun. Aku hanya membiarkan peluang itu berlalu sia-sia.

Pernah sekali aku mengajaknya pergi menonton filem tetapi dia menolak. Agaknya dia sibuk dengan kerja-kerja berkaitan kuliah waktu itu. Atau merasa tidak senang untuk keluar. Atau tidak berminat dengan jenis filem yang aku ingin tonton. Atau ada sebab-sebab lain yang tak terjangkau dek fikiranku. Semenjak itu, aku tidak berani lagi mempelawanya ke mana-mana. Aku seolah-olah merasa serik. Mudah benar patah semangatku. Sepatutnya aku meneruskan usaha berkali-kali. Aku jadi begitu takut dia akan menolak pelawaan aku yang seterusnya. Aku pun memaksa diri membencinya. Itu saja yang mampu aku lakukan sebagai langkah drastik. Sayangnya aku tidak mampu membencinya dalam jarak waktu yang panjang. Gadis itu terlalu kudus untuk dibenci. Aku memaafkannya dalam diam.

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

Suatu hari dengan tanpa kuduga, kami terserempak di sebuah kedai makan pada suatu petang yang nyaman di pinggir ibu kota. Aku cuba untuk mengelakkannya tapi tidak berdaya kerana dia sudah terlebih dahulu menyapaku. Kami bertukar-tukar khabar dan perbualan seterusnya meleret-leret ke hal-hal peribadi. Tanpa kusedari, tiba-tiba kami sudah berada di suatu sudut restoran, menunggu pesanan.

“Maafkan aku kalau apa yang akan kukatakan nanti bakal menyinggung perasaanmu. Aku ingin meluahkan sesuatu yang telah aku pendamkan suatu masa dulu,” ujarnya berterus terang. Tanpa memberi ruang untuk aku memintas kata-katanya, dia terus menyambung bicara. “Sebenarnya satu waktu dulu aku pernah menyukaimu.” Hatiku berdetik mendengar pengakuannya. Gembira yang bercampur gugup. Semacam ada sirna harapan yang tiba-tiba kembali bercahaya.

“Sebab itulah waktu 'final year' aku selalu mengirim pesanan, telefon, tanya hal kuliah dan khabar berita. Memang aku benar-benar mengambil berat tentang kau waktu itu. Walaupun kita tidak berpeluang keluar bersama. Aku malu memberitahu pada kau hal ini,” akuinya perlahan. Rautnya tunduk ke bawah. “Aku betul-betul mengagumi dulu. Lantas aku jadi tertarik padamu. Aku tak tahulah bagaimana perasaan kau waktu itu.”

Memang kita sama-sama memendam perasaan sebenarnya. Dan kita sama-sama takut untuk memuntahkannya. Itulah yang semestinya aku luahkan sebagai balasan pengakuan si dia. Sebaliknya aku hanya mampu berkata, “Tak mengapalah. Sekarang kita sudah sama-sama dewasa. Kita wajar berfikiran terbuka. Perlu terima hakikat,” ujarku cuba merasionalkannya. Sebenarnya aku ingin jadi seberani dirinya, berterus terang. Itulah sepatutnya yang kulakukan dulu. Tambahan pula aku lelaki, dan dia perempuan. “Memang bagus kau berterus terang,” tambahku lagi cuba menghargai kejujuran dan keberaniannya.

Keadaan jadi sepi seketika. Aku memandang ke luar restoran, cuba-cuba untuk mencari penyambung kata. Si dia masih tertunduk-tunduk, sepasang matanya memerhati gelas minuman yang baru diletakkan oleh pelayan restoran. “Oh, ya! Aku kena pulang sekarang. Ada hal yang perlu aku uruskan,” ujarnya ketika aku berkira-kira mencurahkan isi hatiku pula. Dia mencapai sesuatu dari dalam beg sandangnya, mungkin ingin mengeluarkan ‘business card’ untuk diberi padaku.

“Aku harap kau dapat melapangkan masa datang ke rumah nanti,” ujarnya menghulurkan sekeping kad. Pandanganku masih terpukau pada rautnya yang tiba-tiba bertukar ceria, sedikit bersinar. Dia tidak banyak berubah berbanding dulu. Mungkin hatinya bertukar ceria setelah menemuiku dan mengungkapkan apa yang selama ini terpendam.

Suasana senja mula membungkus persekitaran ibu kota, restoran dan bangunan berhampiran. Kelibat sang gadis telah lenyap dari pandangan, meninggalkan aku bersama kad jemputan majlis perkahwinan yang dihulurkannya sebentar tadi. Aku masih termangu, cuba menelan mentah-mentah realiti kehidupan yang terhidang. Mungkinkah akan ada sambungan pada episod antara aku dan si dia? Hasrat yang kupendam sekian lama kekal terpendam di sudut hati yang rawan...

Yang Terpendam (Bhgn I)


Sewaktu mengemas album-album lama tempohari, pandanganku tertampan pada potret-potret wajahnya. Beberapa ‘pose’ yang agak menarik segera menambat perhatian. Sesekali apabila terpandangkan potret wajahnya, hatiku terdetik seketika. Seorang gadis dengan senyum memikat. Semacam ada satu kekesalan menghimpit perasaan.

Alangkah bodohnya diri ini. Kenapa kini baru terkenang-kenang dan tercari-cari? Diri tak ubah seperti mengejar bayang-bayang. Kenapa tidak sedari dulu lagi merapatinya sekerap mungkin dan cuba mencari peluang berterus terang? Dulu aku kerap menghindarkan diri darinya. Tiap kali bersua aku akan cuba mengelak. Aku diselubungi perasaan malu yang begitu menebal setiap kali dia muncul di depan mata. Kini setelah tiada sebarang berita mengenai dirinya, aku pula seakan diserang sindrom gila bayang.

Dia seperti kebiasaannya, dengan senyum lebar menggoda, berdiri di samping Zack, di sebelah Jamil, duduk berdekatan Khalid. Tiada satu pun ‘pose’ antara aku dan dia. Aku hanya memainkan peranan sebagai jurufoto, perakam gambar-gambar mereka. Gambar-gambar itu tetap kemas menarik, tersimpan utuh di dalam album. Setiap carik kenangan berkaitan dirinya begitu berharga.

Dia memang seorang yang menawan dari segala segi; tingkah lakunya, paras rupa, percakapan juga personaliti. Tutur katanya lembut dan dia disenangi oleh semua. Tubuh badannya agak sederhana, dengan ketinggian yang juga sederhana. Rambutnya sedikit keriting, selalu dibiarkan lepas ke paras bahu dan kadang-kadang diikat rapi, menyerlahkan lagi kecantikannya sebagai seorang gadis timur yang anggun.....

Monday, May 11, 2009

Yang Terpendam (Prolog)


"For that's the way it is with life, as some of the most beautiful days come completely by chance. But even the most beautiful days eventually have their sunsets.
And now, I am going to secure the memories by myself..."


Suatu hari, ketika majlis jamuan Aidil Fitri diadakan di halaman rumah Tuan Pengetua, aku terpandang si dia bersama rakan-rakan sekelas. Seingatku saat itu aku seakan terpaku seketika. Bagaikan ada sejenis tarikan magnetik pada keindahan raut, kesederhanaan tingkah laku dan gaya bersahajanya. Itu bukanlah kali pertama aku terserempak dengannya. Telah beberapa kali aku terpandangkannya. Kami mendaftar di sekolah yang sama semenjak di tingkatan satu lagi. Penduduk di negara tercinta ini mula jatuh cinta dengan kereta nasional. Aku pula belajar mencari apakah makna cinta seorang Hawa.

Dari jauh kulihat dia amat mesra berbual-bual dengan teman-temannya. Rambut keriting halusnya sesekali meremang dihembus manja oleh sang bayu. Satu perasaan aneh menjalar menguasai diri, ingin segera dilepaskan untuk menyapa sang gadis. Namun kupendamkan sahaja rasa hatiku itu. Sudah jadi tabiatku begitu, perahsia. Aku memang tidak betah berterus terang, walau dengan sesiapa pun juga. Di kalangan rakan-rakan rapatku sendiri pun aku tidak gemar mencurahkan pandangan dan isi hati. Mungkinkah itu penyebab kaum lelaki mudah diserang tekanan sakit jiwa dan penyakit-penyakit yang seumpamanya?

Ada sesuatu yang menguatkan rasa yakinku mengatakan hati si dia belum dimiliki lagi. Kerap juga aku melihatnya duduk di kelas, bersendirian. Waktu pelajar-pelajar lain menghabiskan masa riadah petang di padang permainan, dia lebih gemar menelaah di kelasnya. Di waktu yang lain pula, aku sering terserempak dengannya di perpustakaan. Tarikan magnetik semakin kuat untuk kuanggap remeh. Gila! Sawan apakah yang telah menyampukku lalu tiba-tiba menukarku menjadi seorang pemerhati yang tekun pada perjalanan hidup seorang gadis? Wajarkah sikapku memerhatikannya dengan penuh teliti sedangkan antara kami tiada apa-apa ikatan darah?

Sayangnya setiap kali kami berpapasan, aku tidak pernah berani menegurnya. Aku seolah-olah jadi lelaki yang begitu sombong dan punya tembok keegoan yang begitu sukar diruntuhkan. Pada firasatku, si dia pastinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyahut sapaanku. Dia seorang gadis yang mesra. Masalahnya aku berdepan dengan kekakuan dan kekejangan lidah sendiri setiap kali aku cuba membuka bicara. Berhadapan dengannya sahaja sudah cukup membuatkan lututku terasa gementar.

Lalu aku pun merenungnya dari jauh sahaja setiap kali peluang untuk bermesra menjelma. Itu sahaja yang terdaya aku lakukan. Di kelas, di perpustakaan, di padang-padang permainan dan di mana sahaja di kawasan asrama yang aku pergi aku kerap terpandangkan rautnya. Di dewan makan asrama pun aku kerap memerhatikannya, bagaimana dia menyuap hidangan, meneguk minuman, mengunyah makanan atau melayan bicara rakan-rakan di sebelah, sambil sesekali bicara mesranya diselangi senyum simpul atau ketawa rendah. Ternyata dia disukai dan mudah diterima dalam pergaulan. Mungkinkah aku cuba mencari apa yang kurang pada dirinya? Kalau itu yang cuba kucari, jawapannya mungkin belum ada.

Keadaan sebegitu berlarutan sehingga ke penghujung tahun. Aku berada di tingkatan tiga dan peperiksaan SRP menjelang tiba. Aku dan rakan-rakan melaluinya dengan kegusaran yang berbaur harap. Rasanya latihan dan tunjuk ajar yang diberi oleh para guru sudah lebih dari mencukupi. Tapi kami tetap diselubungi kebimbangan. Mampukah kami lulus dengan jumlah aggregat yang dikehendaki oleh pihak sekolah? Andai gagal, kami pasti akan tersingkir.

Tahun baru menjelma dan hampir kesemua pelajar kembali ke Tanjung, asrama penginapan kami. Hanya beberapa orang pelajar yang tidak diterima menyambung pembelajaran di Tingkatan Empat. Yang pastinya si dia tetap meneruskan perjuangan di bumi Tanjung. Sepanjang menuntut di tingkatan empat tak banyak yang kulakukan selain berangan-angan dan mengembangkan daya imaginasi. Tahun itu dianggap tahun untuk berbulan madu oleh kebanyakan rakan - rakanku. Masing - masing kembali melakukan hobi - hobi nakal sebelumnya – menghisap rokok, ponteng kelas, keluar asrama waktu malam, bergaduh sesama sendiri, dan yang seumpamanya. Tidak ada satu pun kesempatan menjelma buat aku dan si dia bertemu. Kami masih manusia yang asing meski pun telah hampir empat tahun berada di satu bumbung sekolah yang sama.

Seiring putaran masa, perhubungan kami bertukar menjadi sedikit erat. Aku dapat rasakan sang gadis semakin mudah mesra denganku. Dia gadis yang sentiasa bersedia untuk diajak berbincang dan petah berbicara. Dia juga tidak teragak-agak menghulur bantuan, material atau moral, jika ianya diperlukan. Kami sering bertukar-tukar bahan rujukan. Kadang - kadang kuselitkan nota tulisan tangan di balik helaian buku rujukannya yang kupinjam. Tiada apa-apa yang serius kutulis. Hanya sepatah dua ayat bernada lucu. Dia pasti membalasnya dengan nada yang sama.

Walaupun perhubungan kami bertambah erat, aku mendapati reaksi dan persepsi dirinya terhadapku masih tidak berubah. Dia hanya menganggapku sebagai rakan biasa. Tak mungkin dia punya perasaan sedalam yang kumiliki terhadapnya. Dia gadis yang punya cita-cita besar dan boleh dikatakan tergolong dari keluarga berada dan intelek. Siapalah aku berbanding dirinya. Aku dan cinta monyetku yang hanya mengindahkan dunia lamunan ciptaanku. Kesedaran itulah yang menyebabkan dadaku berombak setiap kali kami bertentang mata. Aku ingin segera membuka mulut dan melontarkan apa yang terpendam. Tiada apa yang mampu dilontar. Ianya terus kekal terpendam.

Peperiksaan SPM pun berlangsung dan aku menjawab setiap kertas soalan setenang dan seyakin mungkin. Sepanjang minggu peperiksaan aku langsung tidak berpeluang untuk menemuinya. Hanya secebis nota ucapan selamat berjaya yang kuterima dari dirinya seminggu sebelum hari peperiksaan. Ralat juga hatiku kerana sebaik tamat peperiksaan, aku meninggalkan bumi Tanjung tanpa menemuinya buat kali terakihir. Akhirnya si dia telah pun hilang dari pandangan...