Wednesday, July 22, 2009

Irisan - Irisan Mimpi (I)


Ini cerita betul. Ia bukan cerita pendek yang dikarang sesedap rasa.

Begini: nama abah Hasan. Lama dia telah pergi. Cerita emak, abah deritai Parkinson. Abah peninju handalan dalam angkatan tentera. Mungkin itu sebab yang banyak menyumbang kepada keuzurannya. Emak juga sudah berhijrah ke sana. Lama juga. Pada musim haji. Emak berangkat ke alam lain ketika di Madinah. Kali terakhir saya melihat emak di bangunan Tabung Haji. Dia melambai-lambai dalam telekung putih, kata emak, kau jadilah pendidik yang betul.

Hanya kemudian mak ngah berkisah yang emak berpura-pura aman dalam perkahwinan. Emak sekadar mengahwini kujur tubuh seorang lelaki Hasan. Sedang hati abah, perempuan lain berpenghuni. Barangkali kerana itulah emak tidak kerap tersenyum. Raut wajah tercengkam duka. Emak terlalu menyayangi abah tetapi malang, emak perempuan yang datang lewat.

Sarawak masih terlalu mentah di dalam Malaysia dan penerimaan terhadap orang Semenanjung terutama yang berjawat tentera belum begitu intim. Kata mak ngah kala tentera dari Semenanjung turun ke pasar, digelar orang 'katak hijau' kerana warna uniformnya. Tahun 60an, tentera dari Semenanjung biasa bertali leher, ejek rasmi orang Kuching, askar mengenakan 'jamban tarik'. Tali leher jadi permainan yang kasar. Mungkin juga bukan gurauan, kalau tidak masakan abah terlalu terseksa.

Saya selalu cuba mengerti situasi itu. Politik nasional masih rusuh, Komunis masih garang, benih konfrontasi kekal girang, Filipina masih mengintai Sabah dan Brunei misalnya belum tersentosa oleh suara oposisi yang berbeza. Pendek kata pulau besar Borneo dalam gelora.

Terus terang, saya tidak mahu berpihak kepada emak. Bukan kerana saya rapat dengan abah. Saya kurang mengenalinya malahan. Saya agak kecil waktu abah mendadak tiada. Saya hanya mahu memahami. Anak yang cuba mengerti. Justeru saya tidak mengecam sesiapa.

Dalam penerbangan sejam lebih ke Kuching selepas disahkan menjadi guru di Kudei, saya mengamat-amati gambar abah yang kusam. Suara rakan-rakan maktab mengusik sesekali tergema memercik di gegendang. Nanti tersangkut orang Sarawak. Atau ancaman, Sarawak terlalu jauh untuk yang berjantina perempuan, kalau kau terdampar di tengah hutan mengajar anak Penan?

Saya hanya senyum sambil membalas, tidak mengapa, anak Iban, Dayak, Melanau atau anak Penan sekalipun. Mereka anak Malaysia. Aku mahu ke sana, mengenal-ngenal bahagian lain negara, kalau ditakdir aku sampai menyayangi maka harus dikatakan apa lagi? Rakan-rakan yang seboleh mengelak terhantar ke Malaysia Timur gamam dengan ujaran begitu.

Sebetulnya saya cuma mahu membaca nota-nota cinta tinggalan abah. Saya fikir jiwa abah dikebumikan di dasar Sungai Sarawak yang kata orang sungguh sempit. Dua malam sebelum berangkat abah datang dalam mimpi, tersenyum sungguh segak dan berbisik tenang "Cari dan kembalikan sukma abah yang tercicir di sana." Saya terjaga dalam peluh dan menjadi tambah cekal untuk hidup berdikari di rantau orang.

Gambar abah dalam genggaman: rambut pendek tetapi sedikit berombak dan tegak di bahagian tengah. Sawo matang yang pasti segar memikat pada mata gadis. Matanya kecil menyerlahkan rupa seakan-akan Cina. Gigi abah kurang cantik walau masih tersusun tetapi taring penyerinya ketara dan hidung abah saya sedari tidak bertulang, terlazim hidung peninju begitu. Abah memang kacak. Manis orangnya waktu muda.

Pesawat gegar dan awan di luar membentuk wajah abah. Matanya redup tetapi mengharap. Kemudian awan tersentak dilanda angin dan menghilang jadi rintik air.

Memori saya dengan abah tidak banyak. Saya masih anak-anak dan abah pendiam. Saya tidak pernah pula tahu rahsia nama saya. Satiyah binti Hasan.

Kapal terbang jejak di landasan. Husna rakan semasa menuntut di MRSM Jasin dahulu telah mencarikan saya sebuah kamar sewa tidak jauh dari Satok. Sungai Sarawak begitu hampir, katanya menyambut saya di lapangan terbang. Saya terkhayal sementara bila dibawa melewati pesisiran sungai yang kaya, memerhati bot penambang menghala ke Fort Margherita, suatu tugu cinta Brooke.

Kau pasti sukakan kamar sewa yang kucarikan. Murah berpada dan makcik tuan punyanya, begitu banyak sekali persamaan dengan kau Ti. Dan kamar sewa itu. Wah, makciknya budiman sekali. Kata Husna, anak-anaknya telah tiada, semua menetap di Kuala Lumpur. Makcik bertubuh sederhana besar, sederhana tinggi, sedikit tetal dan berkulit cerah dengan sepasang mata yang sedih.

Mukanya bujur dan Husna ketawa memperkenalkan kami berdua seraya meninggalkan kami separuh gamam. Nama makcik Satiyah, itu yang menggugupkan saya. Aneh bukan?

Lambat, saya lebih tahu, yang makcik tidak pernah ada anak. Dia bukan mandul. Tetapi dia tidak pernah berkahwin. Saya pernah bertanya suatu malam waktu dihidangkan dengan teh mayang setelah kenyang menghadam mi sapi, umai dan bubur pedas.

Memang tidak pernah berkahwin. Tetapi kasih disimpan dalam hati dan akan makcik bawa ke mati, begitu balasnya. Saya pun menimbang-nimbang dan mengerti ada sisik rahsia yang menyelaputi tubuh wanita tua itu.

No comments: