Friday, July 24, 2009

Irisan - Irisan Mimpi (III)


Pernah mendengar lagenda Tandang Sari dari bumi Kenyalang? Seorang gadis Dayang Esah yang mencintai Awang Bunut dipaksa mengahwini Nakhoda kerana ayahnya terkesima oleh kilauan sepuluh kati emas. Setelah dilapor orang kampung perihal Dayang Esah yang berkebetulan mengadu nasib diri kepada perindunya, si ayah telah bertindak jauh dengan membunuh anak perempuan sendiri atas nama maruah dan menjaga air muka di hadapan Nakhoda yang banyak memberi. Kisah makcik jauh dari lagenda tetapi bagi saya ia adalah suatu kisah cinta yang murni.

Seperti kata saya, kemasukan Sarawak dalam Malaysia belum dewasa dan kesesuaian perkahwinan wilayah itu belum cukup bersenyawa. Prasangka masih menebal dan makcik dihalang dari mengahwini abah kerana itu semua. Makcik dipaksa mengahwini seorang pemuda dari kelas mewah Abang Ruhi tetapi cekal mendegil diri hingga ayahnya melancar amuk dan menikam makcik bertubi-tubi.

Semua orang menyangka gadis Melayu kacuk Melanau itu sudah dijemput ajal pada malam kejadian. Makcik dibawa ke hospital dalam parah dan disembunyikan oleh beberapa rakan yang simpati. Kemudian makcik membawa diri setelah pasti dibuang keluarga yang begitu melebihkan air muka. Abah sudah pulang ke Semenanjung sebelum itu dan mendapat berita yang makcik telah meninggal dunia lantaran teruk dibelasah ayahnya. Dia memakan hati, berasa bersalah dan tidak mahu mengampunkan diri.

Makcik pula mahu mencari abah di Kedah tetapi tidak ada petunjuk dan keadaan politik terus kacau, dia jadi perempuan yang tua sendiri dan perlahan-lahan menjadi lagenda kecil kampung Kudei. Setiap orang di kampung itu mengetahui kisah cinta mereka.

Rasa kasihan saya pada makcik makin bertambah dan saya berusaha menganggap yang dirinya adalah emak, dirinya adalah abah. Tiga tahun saya berkhidmat di Sarawak dan rasa keterbukaan antara dua wilayah ini sudah begitu padu. Saya malah tersangkutkan kasih dengan seorang pensyarah seni di UNIMAS yang rajin mengenyit mata ketika berlegar di WaterFront. Aneh, namanya juga Hasan. Awang Hasan Awang Muhamad dari Bintulu.

Menjelang Aidilfitri tahun lalu, suami saya menambangkan anak-anak (kembar dua yang kami namakan Hasan dan Husin) dan makcik untuk pulang beraya di Semenanjung. Pada mulanya makcik enggan ikut sama. Begitu dia berkeras sehingga nyaris kami bertelagah mulut yang buruk. Saya keras memujuk. Paling tidak makcik dapat menziarahi pusara abah. Dia tidak mahu. Katanya, Aku sik mau mengingat lagi yang lepas-lepas. Tetapi tiba-tiba dia bertukar fikiran. Apa yang merubah pendiriannya kekal jadi tanda tanya dalam benak. Tetapi saya mahu merasakan ia sebagai gerakan dari Tuhan.

Makcik saya bawa melawat pusara abah yang memang ditempatkan di belakang rumah mak ngah. Tanah di sisi pusara abah masih lengang. Cuma ada kuburan pak ngah tidak jauh dari situ dan juga makam datuk dan nenek kami. Setiap pagi dan petang makcik akan seorang diri duduk di pusara abah sehingga hati kami jadi runsing. Cinta tidak mesti bersama, kata makcik berulang-ulang. Kamek tidak pernah berhenti mencintai abang, saya pernah mencuri dengar bisiknya suatu senja sementara menunggu untuk memimpinnya pulang.

Makcik memang agak segan dan malu-malu dengan kaum keluarga kami. Sanak saudara datang dari jauh untuk melihat sendiri seorang wanita tua yang suatu ketika dahulu pernah menawan hati wira keluarga, Lans Koperal Hasan.

Hari ketujuh makcik di kampung, dia demam panas agak mendadak dan menghembus nafas terakhirnya dalam lelap. Saya percaya mimpi abah dan mimpi makcik adalah untuk disatukan. Saya minta makcik dikebumikan di sisi abah. Tiada sesiapa lagi di Kuching untuknya. Dia perempuan terbuang. Lama dia sengsara. Jadi biarkanlah dia bersemadi di sisi perindunya. Meski ramai kaum keluarga yang membantah, saya tegas mempertahankan tindakan saya dengan kata-kata, Saya percaya mereka adalah kekasih setia. Emak tentu tidak menyanggah. Saya percaya makcik adalah isteri abah. Meski sekadar di dalam hati. Dan kerana kedudukan itu, makcik adalah ibu tiri saya. Oleh kerana saya berkeras, mimpi mereka mesti menjadi kenyataan meski ia tertinggal menjadi irisan-irisan, sanak saudara terdesak akur.

Malam Aidilfitri saya didatangi makcik dan abah dalam pakaian pengantin lalu mengucup dahi saya. Barangkali itulah caranya mereka mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga. Mereka hanya membisu tetapi tersenyum begitu sempurna. Mata abah berkaca-kaca. Saya terjaga dalam keadaan tersedu pilu dilatari suara takbir bergema sayup menyayukan. Saya percaya mimpi sepasang kekasih sudah pun saya tunaikan. Meski kata saya tadi, sekadar irisan-irisan.

Sebelum pulang ke Kuching, Hasan yang nakal terkedek berlari menjinjing bakul kecil makcik yang tersorok di bawah katil. Bakul nenek ujarnya. Di dalam bakul yang saya sangkakan terisi benang dan jarum jahitan, terbekal bersama dua keping gambar lusuh abah waktu muda dan sekeping lagi gambar mereka berdua termasuk seutas 'jamban tarik' yang masih rapi terpelihara. Saya temui juga tujuh butir butang baju askar Melayu warna keemasan tetapi sudah agak luntur warnanya.

Kesemuanya saya simpan hingga kini, saya berazam mahu menurunkannya sebagai pesaka berharga kerana barang-barang itu adalah sebahagian dari irisan-irisan mimpi cinta sepasang kekasih lagenda. Satiyah dan Hasan.

Ini cerita benar. Yang anda telah baca bukan fiksi. Bahkan ia lebih sempurna dari kebenaran. Ia mimpi dan ia lagenda.

1 comment:

cat said...

sayu nya...kebetulan aidilfitri juga akan menjelang tiba. 'Cinta tak semestinya bersatu..'
Siapa lebih sedih ye.. orang yang pergi dulu atau orang yang tinggal?