Sunday, September 07, 2008

10 Cara Meraikan Ramadan


Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak :

1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik.

2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Ia dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.

7. Iktikaf.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar.

Sumber : Utusan Malaysia (5 September 2008)

No comments: