Friday, July 11, 2008

Jubli Perak Sekolah Menengah Sains Muar


Tanggal 26 jun 2008 telah diadakan majlis sambutan Jubli Perak bersempena 25 tahun Sekolah Menengah Sains Muar. Majalah rasmi sekolah pada tahun awal penubuhannya mengguna pakai nama Tanjung, merujuk pada Sekolah Menengah Sains Muar yang bermukim di Tanjung Agas, Muar, Johor.

Lebih dua puluh tahun yang lalu, saya juga pernah memukimi bumi Tanjung. Terletak berhampiran muara sungai yang membentang ke Selat Melaka, hidup saya dan rakan-rakan sering diramahi hembusan bayu. Tanjung bukanlah satu mukabumi yang dipenuhi panorama keindahan, tapi kami tetap ceria dan bahagia memukimi buminya.

Sebahagian dari kami menetap di Tanjung selama lima tahun, manakala sebahagian yang lain pula hanya untuk tempoh dua tahun. Walau berapa lama atau singkat pun jarak masa kami bertapak di bumi Tanjung, nama Tanjung akan tetap mekar di sanubari. Tanjung adalah sebahagian dari sejarah usia kehidupan kami. Bagaimana mungkin kami akan melupakannya?

Banyak juga kenakalan kami sewaktu memesrai tanah bertuah Tanjung. Ponteng kelas persediaan, menceroboh masuk asrama puteri, keluar asrama waktu malam (tak pasti kenapa aktiviti ni lebih dikenali sebagai 'fly' - tak terbang pun, menyusup keluar pagar je, tapi memang 'thrill' - mungkin sebab tu namanya 'fly'), hisap rokok (yang ini dipanggil 'song')....

Dan pastinya kami tidak akan terlepas dari hukuman. Tapi kenakalan - kenakalan itu tidaklah sampai memesongkan halatuju hidup kami. Malah kami berterima kasih pada semua warga Tanjung, para guru khasnya yang berjaya membentuk kami menjadi insan sewajarnya.

Sebahagian dari kami mungkin berjaya dalam kehidupan masing-masing dan memiliki kerjaya setaraf golongan pertengahan ('middle class'). Sebahagian yang lain pula telah mengukir kejayaan yang lebih menjulang dan membanggakan.

Semuanya bertitik tolak dari bumi Tanjung.


Walau sejauh mana sekalipun jarak masa meninggalkan era kehidupan kami di bumi Tanjung, percikan kenangannya yang berwarna warni akan kekal tersimpan utuh di sudut ingatan. Hati kami akan kerap mengenang Tanjung, lebih-lebih pada waktu usia Sekolah Menengah Sains Muar mencecah dua puluh lima tahun.

Kepada para guru yang menjadi idola kami, terima kasih pada curahan jasa dan bakti juga pengorbanan tanpa batas yang tak mungkin terbalas sepanjang hayat kami. Cikgu semua adalah keluarga kedua kami kerana cikgu pengganti kedua ibu bapa kami (saya agak beremosi menulis coretan ini kerana saya baru sahaja kehilangan ibu tersayang 12 Rabiul awal yang lalu).

Khas untuk cikgu 'favorite' saya Cikgu Ramli Aziz dan Cikgu Suradi Sarikon : salam rindu dan sayang dari anakanda :)

Untuk adik-adik yang masih meramahi bumi Tanjung : nikmati setiap saat kehidupan di situ. Suatu hari nanti tika kamu tidak dapat mengundur masa, kamu akan merindui saat-saat mesra dan gulana semasa remaja di situ. Percayalah!

Untuk rakan-rakan yang telah meninggalkan kemanisan atau kepahitan hidup di Tanjung : walau apa pun yang diperkatakan, kita tetap warga Tanjung dulu, kini dan dot dot dot ...

Selamat Menyambut JUBLI PERAK buat warga Tanjung!

No comments: