Monday, November 23, 2009

Kualiti Jalan Raya KL...

Apa sudah jadi dengan kualiti jalan raya di Kuala Lumpur? Berkeretalah atau tunggang motosikal di ibu negara dan sekitarnya, anda pasti selalu terlanggar permukaan jalan raya yang tidak rata, berlubang dan bercompang-camping.

Keadaan tersebut sukar disaksikan jika menyusuri jalan-jalan yang biasa digunakan oleh pemimpin negara dan orang kenamaan (VIP) tetapi cukup ketara di laluan yang menjadi tumpuan rakyat. Jalan Genting Kelang dekat Setapak misalnya asyik berlubang dan tidak rata hampir sepanjang tahun. Banyak lagi jalan yang sibuk dengan kenderaan terutama menghubungkan ke taman-taman perumahan, berkualiti rendah. Adakalanya Awang tidak percaya bahawa keadaan jalan-jalan seperti itu terletak di ibu negara yang mahu dijadikan bandar raya bertaraf dunia.

Bagi penunggang motosikal, ia umpama jerangkap samar, yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terlibat dengan nahas apabila cuba mengelak lubang, lebih-lebih lagi ketika hujan dan waktu malam. Jika kita berpeluang meninjau keadaan jalan raya di Jakarta dan Bangkok, sukar untuk melihat jalan yang berlubang, tidak rata dan rosak di laluan-laluan yang penting dan sibuk. Itu belum bercakap tentang perbandingan dengan kota Singapura, yang Awang sentiasa cuba elakkan.

Lebih aneh, kerosakan jalan biasanya berlaku setiap kali selepas kerja-kerja pengorekan permukaan jalan oleh kontraktor mewakili pelbagai agensi. Penurapan semula yang dilakukan tidak berkualiti, menjadikan jalan mudah rosak. Sekali lagi yang aneh, ia seperti tidak dipantau oleh PBT dan jika dipantau sekalipun, ia tidak dilakukan dengan tegas. Manakan tidak, banyak laluan di lorong kiri (daripada dua lorong) sentiasa cuba dielak oleh kenderaan kerana selalu menjadi mangsa kualiti turapan buruk para kontraktor, menyebabkan pemandu bertumpu di lorong kanan. Permukaan jalan sebegitu hanya sesuai untuk kenderaan lasak pacuan empat roda. Sepatutnya kontraktor yang gagal menurap jalan dengan kemas dan baik, didenda selain ditamatkan kontrak mereka.

Berdasarkan pengamatan Awang, banyak jalan yang rosak itu terpaksa diturap secara menyeluruh oleh DBKL apabila ia semakin teruk dan berbahaya. Tetapi tidak lama selepas diturap, kerja pengorekan jalan dilakukan maka berulang lagi kerosakan.
Bayangkan berapa banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk projek membaik pulih jalan yang rosak di ibu negara? Siapa yang untung untuk projek penurapan berulang kali ini?

Bercakap tentang isu korek jalan dan kualiti jalan di bandar-bandar Lembah Klang, ia memang menyakitkan hati sejak dahulu lagi. Anak-anak remaja pun boleh bertanya kenapa sampai begitu keadaannya? Mengapa PBT kita tidak mahir menurap jalan atau gagal menjaga kualiti turapan kontraktor?

Kita mungkin berbangga dengan kepesatan fizikal Kuala Lumpur termasuk dari segi bangunan pencakar langit tetapi dalam soal pengurusan kualiti jalan rayanya, kita masih ketinggalan.

Aduan mengenai jalan rosak dan berlubang adalah antara yang terbanyak disalurkan oleh warga kota tetapi penyelesaiannya tidak ke mana. Sedangkan antara perkara paling asas untuk menilai imej sesebuah bandar raya ialah kualiti jalan rayanya.
Awang cadangkan seluruh barisan anggota Kabinet menaiki kenderaan secara konvoi mengelilingi Kuala Lumpur dan perhatikan sendiri kualiti jalan di merata pelosok. Mungkin kita asyik mendongak ke atas dan terlupa memberi perhatian kepada yang di bawah. Silakan...
-Awang Selamat, Mingguan Malaysia 22 Nov 2009.

No comments: