Tuesday, November 10, 2009

Cebisan Memori (I)


Masa yang kunanti - nanti sekian lama pun tiba. Malam sebelumnya aku pastikan segala-galanya siap tersedia. Beg-beg pakaian, laci, dapur, ruang tamu, bilik mandi, meja ,kerusi dan segenap ruang. Pendek kata, segala-galanya. Aku melelapkan mata di ruang bilik yang siap dikemas, lapang. Aku terkebil-kebil sekian lama sebelum mampu melangkah ke alam mimpi. Dan esoknya, aku telah terjaga di awal pagi lagi.

“Billet, s’il vous plait,” satu suara kedengaran mengejutku. Controleur atau pemeriksa tiket yang berpakaian seragam (kot dan seluar serba biru) berdiri tercegat di sebelah tempat dudukku. Perjalanan keretapi laju yang serba senyap dan selesa berjaya menarik rasa kantukku. Aku mengeluarkan tiket dari beg sandang dan segera menghulurkannya kepada lelaki yang menunggu.

“Merci et bon voyage!” ucapnya mesra dalam Bahasa Perancis setelah memeriksa tiketku. TGV terus memecut laju mengikut laluan yang dijadualkan: La Rochelle - Paris. Pun begitu hatiku tetap berdetik cemas. Tidak dapat menahan sabar lagi. Aku ingin cepat sampai. Telah terlalu lama aku berada di bumi Perancis. Telah terlalu kerap aku menutur bahasa Perancis, lebih kerap dari bahasa Inggeris maupun bahasa ibunda sendiri. Telah terlalu acap tekakku menelan masakan Perancis. Aku perlu segera pulang ke bumi Malaysia, menetap di negeri tanah tumpah darahku; makan masakan Melayu dan bertutur bahasa Melayu.

Pokok-pokok, rumah-rumah teres dan apartmen dan juga pelbagai jenis kenderaan kelihatan berlari laju ditinggalkan keretapi. Aku mengalihkan pandangan ke ruangan di dalam gerabak keretapi. Suara dua orang gadis di hadapanku kedengaran sedang rancak berbual. Aku langsung tidak faham apa yamg dituturkan, tapi aku dapat mengagak mereka bertutur bahasa Jerman. Setelah agak lama menetap di Perancis, aku dapat membezakan sedikit lenggok bahasa Sepanyol, Jerman ataupun Itali. Di sebelah kananku pula, dua orang gadis cuba berbual dalam bahasa Perancis yang kurang baik (mungkin pelancong dari Amerika Syarikat mendengarkan slanga pertuturan mereka).

Aku cuba membaca untuk mematikan kebosanan. Kuselak sahaja helai demi helai majalah dunia perfileman, ‘Premiere’. Hati dan fikiranku sudah tidak lagi di sini, di bumi Perancis ini. Ingatanku semakin menebal pada ibu, ayah, abang dan adik di tanahair sana. Juga si dia. Dan Rizal juga, rakan karibku dan entah beberapa orang lagi sahabat dan saudara mara yang sering tak luput dari ruang ingatan.

“Baliklah secepat mungkin,” ucap Rizal sewaktu aku menelefonnya tahun lepas, memberitahu hasrat untuk pulang. “Tempatmu di sini,” tambah Rizal lagi. Namun hasrat untuk pulang segera kutangguhkan apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran untuk tempoh setahun lagi. Peluang sebegitu hanya hadir sekali seumur hidup dan aku tak mampu menolaknya

“Kata abang nak balik secepat mungkin,” begitu antara isi surat gadis idamanku yang kuterima tahun lepas. Seakan merajuk bunyinya. Ah! Perempuan memang begitu. Tahulah aku memujuknya setibanya aku di tanahair nanti. Tahun ini agak kurang warkahnya mengunjungiku. Mungkin dia sibuk dengan tugasannya.

“Paris! Paris! Nous arrivons a Paris…. ” Pengumuman dari pembesar suara kembali menarikku ke alam nyata. Keretapi telah pun tiba di bandaraya Paris. Aku mengangkat beg-beg kepunyaanku lalu turun ke stesen. Kesibukan kota besar segera menguasai suasana.

No comments: