Wednesday, November 11, 2009

Cebisan Memori (II)

Kebosanan demi kebosanan kulalui dan aku bersedia untuk menghadapi satu lagi kebosanan sebelum menjejakkan kaki ke tanahair. Para penumpang berpusu-pusu ingin memasuki kabin pesawat.

“Good morning, Sir! Welcome aboard .” Ah! Lagi-lagi bahasa asing yang jadi pertuturan. Bilakah aku akan mendengar bahasa mulia ibunda? Terlalu rindu rasanya. Putih sangatkah kulitku ini? Jikalau ada Rizal, sudah tentu akan ditegurnya pramugari yang menuturkan bahasa Inggeris itu. Bilakah anak bangsa akan mula percaya pada bahasanya sendiri? Begitulah yang selalu disoalkan si Rizal.

Perjalanan dari Paris ke Kuala Lumpur akan mengambil masa enam belas jam. Kebosanan terakhir yang mesti kutangani dengan bijak. Di sebelah kananku dua orang muda mudi berbangsa Perancis sedang memperkatakan sesuatu. Mungkin aku perlu manyampuk perbualan mereka untuk meringankan beban kebosanan.

Sebelum bergerak, juruterbang penerbangan memulakan ucapan dengan mengalu-alukan ketibaan para penumpang dan memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai penerbangan yang akan dikendalikannya. Para pramugari manis dan pramugara segak juga sibuk mundar mandir untuk memastikan setiap penumpang mengikut arahan yang ditetapkan sewaktu berada di dalam kapal terbang. Ada juga yang menolong penumpang mengenakan tali pinggang keselamatan.

Sewaktu pesawat MH005 mula bergerak meninggalkan lapangan terbang Charles De Gaulle, keghairahan dan kekhuatiran berbaur menguasai minda. Aku ingin cepat tiba di negeri tumpah darahku. Dalam masa yang sama aku sedar penerbangan ini juga tidak terlepas dari risiko kemalangan atau lain-lain halangan. Betapa kerdilnya kita di ruang angkasa milikNya. Isyarat “Sila Pasang Tali Pinggang Keselamatan” masih belum padam. Sejurus kemudian aku terasa tubuhku terdungak sedikit tanda pesawat mula menaikkan sedikit muncungnya untuk mencapai altitud yang lebih tinggi.

Aku membuang pandang ke bumi. Rumah - rumah dan segala macam bangunan juga kenderaan di daratan kelihatan semakin mengecil. Manusia yang mundar mandir kelihatan seperti semut - semut yang merayap. Sebaik lampu isyarat yang meminta para penumpang mengenakan tali pinggang keselamatan terpadam, suara juruterbang yang mengemudi penerbangan kedengaran lagi memberitahu paras ketinggian pesawat.

Aku membayangkan keseronokan-keseronokan di tanahair yang bakal kutempohi bersama si dia. Kami akan meraikan Aidil Fitri bersama. Setelah enam tahun melalui Aidil Fitri yang hambar di Perancis, tahun depan dendamku akan berbalas. Walau bagaimanapun, itu perkara nombor dua, Yang paling penting, yang nombor wahid, aku perlu menikahi si dia dahulu. Begitulah rancanganku. Dan kami akan tinggal sebumbung secara sah, mengecap kelazatan hidup berumahtangga yang memang pun disuruh Nabi.

Aku disergah dari khayalanku entah untuk kali yang keberapa. Seorang pramugari dengan senyum manis menanyakan menu pilihanku. Setelah menyatakannya, pramugari itu kemudian menghulurkan hidangan. Aku menghabiskan lauk yang dihidang dengan lahapnya. Jiran di sebelahku hanya menjamah sayur-sayuran dan biskut yang dihidangkan. Mungkin dia tidak begitu berselara dengan makanan yang dihidangkan.

Aku cuba melelapkan mata setelah makan tetapi tidak berjaya. Sebuah filem sedang ditayangkan di papan skrin tapi tak ramai yang ambil endah sangat. Mungkin disebabkan kebisingan enjin kapal terbang. Ada juga yang segera terlelap sebaik menamatkan hidangan.

“Anda rakyat Malaysia?” tanya jiran di sebelahku, Daniel, selepas kami berkenalan. Aku anggukkan kepala menjawab pertanyaannya. Dia menyatakan kekagumannya sebaik kuberitahu telah menetap selama enam tahun di Perancis.

“Bagaimana pandangan anda terhadap negara kami?” tanyanya lagi. Agak rumit juga soalannya itu. Aku kurang pasti apa yang harus dikatakan.

“Orang Perancis mempunyai kelainannya sendiri,” begitu akhirnya jawaban yang mampu aku suarakan setelah agak kebuntuan pada mulanya.

“Kelainan yang bagaimana?” soalnya lagi. Kebijaksanaanku diuji lagi.

“Tiap-tiap bangsa di dunia ini mempunyai kelainan masing-masing. Orang Inggeris misalnya, agak konservatif. Bangsa Melayu pula, walaupun agak berat mulut, akan jadi peramah setelah berkenalan dan seringkali tak lupa memberi senyuman unik apabila berbicara,” tegasku sedikit megah.

“Bangsa Perancis pula bagaimana?” pertanyaan jiran di sebelahku ini lebih mendalam nampaknya. Sebenarnya aku tidak mahu menyatakan apa yang terpendam di sanubariku. Bangsa Perancis pun ramai yang pemalas, lebih kerap berpiket dan bermogok dari bekerja. Bangsa Perancis nampak kesilapan dan kesusahan orang lain tetapi buta pada pekung sendiri. Bangsa Perancis hanya pentingkan diri sendiri. Itu sebenarnya yang ingin aku luahkan. Tapi aku tak mampu. Lidah merasa begitu berat. Tambahan tak semua orang Perancis sebegitu sifatnya.

“Bangsa Perancis berpegang pada prinsip kebebasan, sama ada dari segi pemikiran dan tindak tanduk mereka. Akhbar-akhbar juga lantang mengkritik kerajaan tanpa sekatan.” Itulah kompromi yang dapat aku suarakan sebagai jawapan pada jiranku. Aku menoleh padanya sebaik tamat berbicara. Jiranku mengangguk - angguk. Mungkin dia berpuashati.

“Kebebasan adalah tradisi kami sejak berzaman,” ungkapnya bangga. “Tidak begitu keadaannya di negara anda?” tanya Daniel cuba menjeratku lagi.

“Sudah tentu. Negara kami juga adalah negara demokrasi. Kebebasan wujud di negara kami. Cuma kami mungkin tidak mengambil tafsiran kebebasan bulat-bulat dari anda,” Daniel diam mendengar jawapanku. Mungkin aku tidak memberikan ruang untuknya memerangkap lagi. Kami terdiam beberapa ketika dan aku pun cuba melelapkan mata.

No comments: