Thursday, March 11, 2010

Di Persimpangan Kenangan (II)


Siti melepas nafas panjang bila mengenangkan saat itu. Saat yang tak mungkin berulang. Saat yang tak mungkin kembali lagi. Dari tepi tingkap perlahan dia bangun dan melangkah ke bilik. Meninggalkan ruang tamu rumah bujangnya. Rumah teres tiga bilik itu terasa amat sunyi. Bukanlah Siti tak biasa tinggal berseorangan di hujung minggu. Tapi suasana alam yang membuatkan kesunyian itu makin terasa. Apatah lagi di saat ini. Satu persatu kakinya melangkah. Dan satu persatu juga, memorinya kembali menerjah.

" Untung hang, Siti...", puji Fazilah di hari pertamanya.
" Kenapa pulak...?", Siti memandang hairan Fazilah, Normah dan Rozita di depannya.
" Ye la, dapat duduk sebelah top student, dah le handsome pulak tu...", ujar Normah sambil tersengeh. Rozita dan Fazilah pun turut tersengeh. Sikit pun aku tak bangga. Menyampah lagi ade la. Lagi pun, bukannya aku dapat faedah pun duduk sebelah dia! Lantang hati Siti berkata.

"Ooo... top student ke...", Siti mencebik. " Patut la sombong sangat...".
"Dia tu bukannya sombong Siti,... cuma pendiam je," bersungguh Rozita menjadi benteng pertahanan. Siti hanya tersenyum sinis. Ye la, kalau dah suka tu masuk longkang pun sanggup.

Kata Fazilah, Riezman tu bukan saja hebat dalam pelajaran, malah handal jugak dalam sukan. Pelari pecut sekolah le katakan. Pernah mewakili daerah Tanjung ke sukan remaja peringkat negeri. Bukan itu saja, Riezman juga penyerang utama bagi pasukan bola sepak yang pernah beberapa kali menyelamatkan maruah sekolah. Dan juga mempunyai libasan maut, senjata utama pasukan sepak takraw sekolah yang membawa pasukan itu ke peringkat daerah. Segalanya ada pada jejaka itu.

Kata Normah pula, Riezman tak ada kawan rapat. Apatah lagi kawan perempuan, jauh sekali. Tapi bukanlah bererti dia kera sumbang. Cuma jejaka itu lebih suka menyendiri. Memang itu Siti akui. Setiap kali waktu rehat, Siti kerap kali melihat Riezman duduk bersendirian di belakang blok A. Kalau berada dalam kumpulan pelajar lelaki pun, Riezman lebih banyak mendengar dari berbual. Tapi tak pernah Siti melihat Riezman bersama pelajar perempuan. Apatah lagi untuk berbual bersama, jauh panggang dari api.

Rozita yang mengenali Riezman sejak dari kecil, menambah. Katanya Riezman berubah semenjak datuk dan neneknya meninggal dalam kemalangan. Waktu itu umurnya dalam 9 tahun. Orang tua itulah yang membelanya dari kecil. Mungkin kerana terkejut dan kecewa, sikap Riezman terus berubah. Walaupun kini dia bersama keluarganya tapi kasih sayangnya tetap bersama arwah nenek dan datuknya.

Terdetik juga rasa simpati di hati Siti. Tapi itu cuma seketika. Bila kembali duduk bersebelahan dengan jejaka itu hilang rasa simpatinya. Timbul rasa geram! Biar apa pun puji Fazilah. Biar apa pun kata Normah. Biar bersungguh mana pun Rozita membela. Tapi pada Siti, yang buruk tu tetap buruk. Seelok manapun di mata orang, kalau sikap dingin memanjang, tetap buruk di mata Siti.

No comments: