Thursday, March 11, 2010

Di Persimpangan Kenangan (IV)


"Aku hantar ke bilik HEP," ujar Riezman memandang ke arah Normah. Gadis yang masih lagi dalam keadaan terkejut itu hanya mampu mengangguk.
"Aku ikut sama," Rozita bersuara dan terus menarik tangan kedua-dua temannya mengekori Riezman. Fazilah dan Normah bagaikan tersedar dari mimpi bila tangan mereka ditarik Rozita. Ketiga-tiga gadis itu berlari kecil mengejar Riezman yang pantas membawa tubuh Siti ke bilik HEP.

Sesekali jejaka itu mengetap rahang menahan sakit sikunya. Namun tak sedikit pun dukungannya longgar. Kerana di saat ini gadis itu memerlukan pertolongannya. Itu yang lebih utama. Biarpun kecederan sikunya akan menjadi parah. Perlahan Siti membuka matanya. Walau pun kepalanya tetap merasa sakit dan pening, tapi dia dapat melihat jelas wajah Riezman. Wajah jejaka itu tetap tenang. Siti merasakan wajah Riezman begitu dekat sekali. Jelas kelihatan manik - manik peluh di wajah jejaka itu. Kemudian, Siti memandang ke sisinya. Dada jejaka itu tepat di mukanya. Siti mula berdebar. Tak mungkin! Dia cuba untuk bergerak, tapi seluruh badannya terasa lemah. Dia cuba untuk bersuara tapi mulutnya terasa berat untuk terbuka. Dia hanya mampu memandang dalam diam.

Perlahan dia menyandarkan kepalanya ke dada Riezman. Jelas kedengaran degup jantung jejaka itu. Siti merasakan debar jantungnya seiring dengan degup jantung Riezman. Disaat itu juga, bau harum badan Riezman menambahkan debaran Siti. Bau badan seorang lelaki, harum bersama peluh yang mengalir. Tiba-tiba Riezman memandangnya. Cepat-cepat Siti memejamkan mata. Malu menguasai dirinya. Tak pernah dalam hidupnya dia berada dalam pelukan lelaki. Inilah pertama kalinya! Namun dia pasrah. Dia sedar jejaka itu berniat suci. Dia dalam keadaann amat lemah tidak berdaya. Perlahan Siti menarik nafas. Saputangan Riezman masih digenggam erat.

Seminggu lamanya, Siti terlantar di biliknya. Selama itulah, dirinya di hantui rasa bersalah. Bersalah pada Riezman. Walaupun bukanlah secara langsung, tapi kerana dialah Riezman mengalami kecederaan. Dan sekaligus melenyapkan peluang jejaka itu untuk mewakili pasukan bolasepak sekolah ke peringkat daerah. Suatu peringkat yang amat dinantikan oleh Riezman. Itu Siti pasti.

"Siti...usah fikirkan hal tu semua..." ujar Normah, yang datang melawat Siti dirumahnya. Fazilah dan Rozita pun turut sama. "Betul tu Siti.... lagi pun tahun depan Man still boleh wakil sekolah lagi...." Rozita mengangguk mengiyakan kata-kata Fazilah. Namun Siti tetap membisu. Hati gadisnya masih tak terasa tenang. Tetap terasa bersalah. Bersalah pada Riezman.

Entahlah, sejak akhir-akhir ini fikirannya sering teringatkan Riezman. Teringatkan mata jejaka itu, sewaktu menghulurkan sapu tangan untuknya. Teringatkan wajah jejaka itu di saat mendukungnya. Teringatkan bau harum badan Riezman di saat kepalanya disandarkan ke dada jejaka itu. Siti diserbu rasa malu bila mengenangkan kembali saat itu. Dia sendiri tak pasti, adakah untuk mengkategorikan saat itu sebagai saat yang memalukan, ataupun sebagai saat yang indah. Apapun yang nyata, Riezman sanggup bersusah-payah menolongnya walaupun dalam kecederaan. Riezman dirasakan seolah-olah mengambil berat terhadap dirinya. Siti tersenyum.

Antara sedar ataupun tidak, hati Siti berbunga rindu. Sapu tangan Riezman masih tetap dalam genggamannya. Tak lepas dari tatapan matanya. Biarlah nanti nak dikembalikan pada tuannya. Bisik hati Siti. Riezman yang wujud di hatinya kini bukanlah Riezman yang dingin dan sombong lagi, tapi Riezman yang caring dan penuh kehangatan. Dan suatu hari nanti Siti yakin pasti ada gadis yang dapat menjadikan kehangatan itu realiti. Siapalah gadis yang bertuah itu? Siti tersenyum sendiri.

Entah mengapa, tiba-tiba hatinya berdetik. Apakah yang bakal di lakukan bila berjumpa Riezman kelak? Siti tahu masa tetap berlalu. Dan dia pasti kembali ke tempatnya di sebelah Riezman. Tapi adakah jejaka itu akan kembali dingin terhadapnya? Siti mula risau. Dia takut Riezman yang wujud di hatinya kini akan lenyap. Dia tak mahu kedinginnan dulu kembali lagi. Dia tak mahu membina kembali tembok antara mereka. Siti mengetap bibirnya.

Setitis airmatanya jatuh ke pipi. Perlahan Siti mengesat dengan jarinya. Hujan di luar dah pun mulai tenang. Mentari pun dah hilang sinarnya. Alam mula ke birai malam. Siti melepas nafas panjang. Suara Suria jelas menyambut Azira pulang. Siti hanya tersenyum mendengarkan keriuhan 'housemate'nya. Memang tak pernah sunyi kalau mereka bertiga berkumpul. Tapi saat ini dia perlu menyendiri. Kerana dia masih di persimpangan kenangan.

Siti melepas nafas panjang bila mengingatkan kembali, waktu dia melangkah kaki masuk ke kelasnya setelah lebih seminggu dia terlantar di rumah. Orang yang pertama yang menyambutnya, sudah pasti Fazilah, Normah dan Rozita. Tapi orang pertama yang dicarinya adalah Riezman. Namun jejaka itu belum lagi tiba. Siti duduk di mejanya dengan kegelisahan di hati. Sejak semalam, dia asyik memikirkan apa yang harus dilakukan bila berdepan dengan Riezman nanti. Tapi, sehingga kini jawapannya belum ditemui. Loceng berbunyi menandakan waktu perhimpunan pagi.

"Siti jom...!" ajak Normah dari pintu kelas. Fazilah dan Rozita yang menjadi pengawas, telah lama berada ditapak perhimpunan. Dengan tersenyum malas Siti berjalan mendapatkan Normah. Ketika itu Riezman melangkah masuk kekelas. Siti mula kaget. Dia tak tahu apa yang harus dilakukannya. Mata Riezman tepat memandangnya. Siti mula tak tentu arah. Niat dihatinya ingin menegur Riezman, tapi suaranya seperti tersekat di kerongkong. Langkah Riezman makin dekat, dan degup jantung Siti makin kencang jadinya. Di saat mereka berselisih, tanpa disangka Riezman bersuara. "Selamat Pagi!".

Tanpa menunggu balasan dari Siti, Riezman terus berlalu. Siti tergamam sejenak. Bagaikan mimpi, Siti mendengar ucapan yang keluar dari mulut jejaka itu. Itulah pertama kali Riezman menegurnya. Ada cahaya kemesraan terpancar dari mata jejaka itu. Serta merta, senyuman terukir dibibir gadisnya. Hati Siti menjerit riang. Terima kasih Tuhan!

No comments: