Friday, March 12, 2010

Di Persimpangan Kenangan (V)



Hari-hari yang berlalu, menyuburkan kemesraan antara Riezman dan Siti. Setiap kali Siti melangkah memasuki kelas, pasti senyuman dari Riezman yang pertama menyambutnya. Begitu juga Siti, pasti Riezman yang dipandangnya dulu. Siti akan tetap sedar kehadiran Riezman, meskipun mereka terpisah di antara ratusan pelajar di dewan besar. Ataupun sewaktu latihan sukan, pasti hati gadisnya terdetik bila Riezman ada berhampiran. Dan seringkali bila mata mereka bertentangan, pasti senyuman manis terukir di bibir. Ketika itu, sudah tentu hati Siti menjerit girang. Hari-hari yang dilalui terasa bahagia di hati. Siti terasa tenang bila pulang dari sekolah, kerana dia tahu, esok Riezman pasti tetap menyambut kehadirannya dengan
senyuman.

Tapi tak siapa sangka, ketenangan itu lenyap bila Riezman tidak datang ke sekolah. Dari sehari ke sehari Siti menanti, memandang tempat sebelahnya kosong. Namun Riezman tetap tidak hadir ke sekolah. Hati gadisnya terasa bagaikan kehilangan, kosong tak berisi.

Petang itu seperti yang dirancangkannya, Siti melangkah laju meredah melalui denai. Sesekali dia menyapu-nyapu pangkal kakinya, takut-takut kalau ada pacat yang datang bertandang. Di kiri kanannya pokok durian, manggis, rambutan, langsat dan entah apa-apa jenis pokok lagi, berdiri megah menjulang ke langit. Kalau le musim buah, memang best ni! Siti tersengih sendiri.

Bunyi monyet dan unggas menceriakan suasana. Riang-riang pun tak kurang juga memberi rentaknya. Segalanya bagaikan mencipta suatu irama. Siti tersenyum damai. Kakinya mula melangkah perlahan, bila denai yang dilalui mati di sebuah kawasan yang agak lapang. Yang ada hanyalah pokok-pokok besar. Tiba-tiba matanya terpandang pondok kecil di balik pokok meranti. Cepat-cepat kakinya mula melangkah kembali. Tapi hampa. Tiada siapa pun di situ. Siti melepas nafas lemah. Dia mengibas-ngibas tangannya seperti kipas. Matanya memandang sekeliling, melihat dusun arwah datuk Riezman. Dia kagum melihat dusun yang kaya dengan usaha itu.

"Apa kau buat kat sini..?" Siti tergamam sejenak, bila mendengar suara di belakangnya. Sesaat kemudian, Siti mengurut dadanya lega, bila memandang Riezman tercegat berdiri dibelakangnya bersama 3 ekor ikan keli dan joran ditangan kiri jejaka itu. Siti tersenyum memandang Riezman. Tanpa reaksi Riezman terus meletakkan hasil pancingannya dan batang joran ke dalam pondok kecilnya. Kemudian dia terus mengutip kayu-kayu kering. Siti hanya memandang gerak-geri Riezman dalam diam. Nak bersuara, takut Riezman marah.

"Man... apasal tak datang sekolah?" kini giliran Siti pula bertanya. Dah seminggu lamanya Riezman tak ke sekolah. Tanpa alasan, tanpa pemberitahuan. Semua orang bertanya. Semua orang tak tahu. Apatah lagi Siti yang selalu memandang kerusi sebelahnya kosong. Hati mana yang tak tergaris kerisauan. Akhirnya, Siti mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke rumah Riezman. Dan Puan Hamidah, ibu Riezman mengatakan, Riezman berada di dusun datuknya.
"Kalau cakap pun, bukannya kau faham...".
"Kenapa, Man nak cakap bahasa Jerman ngan Siti ke...". Perli Siti dengan nada selamba. Ada senyuman pada wajah jejaka itu. Kemudian, mata jejaka itu beralih tepat memandang api yang merah menyala.

"Masa aku kecil, Tok Wan aku selalu bawa aku kesini.... Dia mengajar aku mengail... dia mengajar aku mencangkul... Dialah yang mengajar aku supaya rajin berusaha. Katanya, rezeki tetap ada, tapi datangnya berbeza. Kalau rajin berusaha, mudah saja rezeki itu tiba," ada kegetaran pada suara jejaka itu. Siti memandang sayu. Kelukaan hati Riezman masih belum terubat. Nyata sayang pada arwah datuknya tiada ternilai. Itu Siti pasti.

"Bila tiba tengahari, Mak Tok aku datang dengan bekalan. Selalunya sebelum makan kami bertiga sembahyang zohor bersama. Dan sampai ke petang kami bertiga membersihkan dusun ini. Entahlah, segalanya hanya tinggal kenangan." Jelas kelihatan mata Riezman berkaca. Hati Siti pun terusik. Dia sedar kini, Riezman terlalu lama menanggung derita hatinya. Benarlah kata-kata Rozita.

"Kau nampak tak pokok tu?" Telunjuk Riezman tepat menghala ke pokok jati, yang berada di antara pokok-pokok langsat. Sekali pandang memang tak perasan, kerana ketinggiannya pun lebih kurang sama dengan pohon langsat. Cuma keadaannya saja yang berbeza. Pokok langsat kaya dengan dahan yang bercabang, tapi pokok jati cabangnya kurang. Dari pemerhatian, pastinya pokok jati itu masih muda.

"Pokok jati tu, sama usianya dengan aku. Tok Wan aku tanam sewaktu aku lahir. Hadiah untuk cucu sulung." Pandangan jejaka itu tak berganjak dari pokok jatinya. Siti mendengar dengan kagum. Pastinya, dia yang istimewa di hati orang tua itu.
"Tapi Man, semuanya itu tetap kekal di hati Man. Tak siapa pun yang dapat mengambil segala kenangan itu dari Man. Itu Siti pasti," lembut Siti berkata. Riezman tunduk memandang tanah. Ada betulnya kata-kata Siti. Segala kenangan takkan hilang dari dirinya. Tok Wan dan Mak Tok tetap hidup dalam hatinya. Dia harus teruskan harapan Tok Wan. Dia harus teruskan cita-cita Mak Tok. Itu tekad hatinya kini.

Minggu berikutnya, Riezman mula datang ke sekolah. Siti hanya tersenyum kecil memandang Riezman sewaktu jejaka itu melangkah masuk ke kelas. Tapi seperti biasa jejaka itu tetap tenang. Tetap pendiam. Tapi tidak lagi dingin seperti Siti mula-mula melangkah masuk ke kelas 4P1. Memang ramai yang terkejut melihat Riezman datang. Termasuklah Fazilah, Rozita dan Normah.

"Dah action ye... masuk kelas lambat ", bisik Siti nakal, sewaktu Riezman bersandar kepenatan di kerusinya. Tapi Riezman hanya membalas dengan senyuman. Sebuah senyuman yang paling manis. Dari seorang jejaka untuk seorang gadis. Jejaka itu menandangnya, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dinyatakan. Tapi bila Siti mengangkat keningnya, tanda persoalan. Cepat-cepat Reizman menggeleng kepala dan berpaling ke arah lain. Dan itulah pandangan terakhir dari jejaka itu. Tak siapa pun yang menyangka, selepas itu Riezman meninggalkan daerah Batu Kurau tanpa sepatah kata. Tanpa sepatah pesanan.

"Riezman dan keluarganya dah pun berpindah ke K. L, semalam...". Pengumuman dari Cikgu Radi, menjadikan seisi kelas tergamam. Apatah lagi bagi Siti. Tak sedikit pun terlintas di hati gadisnya, semalam merupakan hari terakhir Riezman berada di Tanjung. Dan hari terakhir, jejaka itu berada disisinya. Siti memandang kerusi kosong disebelahnya. Dia tak tahu sama ada untuk menangis atau pun menjerit geram. Dia rasakan seolah-olah ditipu. Dipermainkan. Dia merasakan seperti kesunyian menyelubungi diri. dan hatinya. Setelah lama hatinya berbunga rindu, mengapa tiba-tiba dia ditinggalkan layu. Siti mengetap bibirnya.

Tiba-tiba Siti tersedar dari kenangannya, bila ketukan singgah di pintu bilik. Suara Azira di balik pintu.
"Siti, keluar le makan."
"Aku datang... kejap lagi.." Lembut Siti menyapu airmatanya. Setelah melepas nafas panjang, Siti bangun dan duduk di bucu katilnya. Dengan perlahan dia bangun.
Satu persatu kakinya melangkah menuju ke pintu.
"Siti... kenapa ni, you sihat ke?", tegur Azira, sebaik saja terpandang wajah Siti. Wajah yang sebelumnya sering ceria. Wajah yang sering membuat lawak nakal.
Tapi disaat itu, wajah Siti kelihatan muram tak bermaya.
"Kau nangis ye Siti?" tegur Suria pula. Siti hanya mampu untuk melemparkan senyum tawar. Dia sedar housematenya, mengambil berat tentang dirinya. Dan kerana itulah, dia rasa patut menceritakan hal sebenarnya. Agar tiada bimbang di hati mereka.
"Tengahari tadi aku dapat call dari kawan aku," perlahan Siti bersuara. Panggilan dari Normah memanglah biasa di terima. Ibu anak satu itu memang sering menghubunginya. Bermacam - macam berita yang di sampaikan. Tapi kali ini, berita yang di sampaikan tak sedikit pun terlintas di fikiran Siti. Dan itulah yang di terimanya tengahari tadi.

"Siti, hang ingat tak lagi Man...".
"Man mane pulak ni, Mah..".
"Alah... Riezman yang duduk sebelah hang tu masa kita form 4... ingat tak?".
"Emm... kenapa dengan dia pulak... kau jumpa dia ke?"
"Tak... tapi aku dapat tau, dia... dia dah meninggal 2 hari lepas. Kemalangan kereta." Tergamam Siti. Kata-kata Normah didengarnya bagaikan tak percaya. Tapi mana mungkin Normah boleh bergurau pasal kematian. Hati Siti mulai sebak. Tak sangka setelah lama menghilang, berita ini yang diterimanya. Sesungguhnya kau pergi dulu, jejaka. Bisik hati Siti sayu.


Itulah ketetapan Tuhan. Tiada apa pun yang kekal. Yang pergi tetapkan pergi, tanpa mengira usia dan waktu. Namun, yang tinggal hanyalah kenangan! Kini telah hampir 2 bulan Riezman pergi mengadap Ilahi. Kaki Siti sekali lagi melangkah tenang meredah denai yang di penuhi dengan semak samun. Di kiri kanannya, masih lagi wujud pokok-pokok durian, manggis, rambutan dan langsat. Kalau dulunya pokok-pokok itu megah menjulang, tapi kini semuanya tenggelam oleh pokok-pokok hutan yang gagah berdiri. Siti menarik nafas dalam. Menyedut udara segar hutan. Unggas dan monyet, tetap riuh menjadi penghuni hutan. Riang-riang pun turut kekal memberi iramanya. Siti tersenyum damai.

Langkah Siti terhenti bila denainya mati di sebuah kawasan yang berbelukar. Seolah-olah, membentuk hutan kecil. Siti melepas nafas panjang. Semenjak Riezman berpindah dusun ini tidak lagi dijaga. Tidak lagi ditebas. Orang yang datang pun hanyalah untuk mengutip rezeki yang ada. Untuk mengutip keuntungan sendiri. Yang tinggal hanyalah sebuah dusun tua ini saja. Perlahan kaki Siti melangkah menuju ke pondok yang hanya menanti masa untuk tumbang. Sekali lagi Siti melepas nafas panjang. Melihat pondok yang tidak lagi seteguh dulu.

Sudah lebih 9 tahun dia meninggalkan dusun ini. Meninggalkan kenangannya bersama Riezman. Tapi entah mengapa hatinya ingin sekali untuk bertandang ke dusun tua ini. Mungkin kerana ingin menutup buat kali terakhirnya kenangan bersama Riezman. Kemudian, kaki Siti melangkah menuju ke sebuah pokok yang tinggi melangit. Tinggi dari pokok-pokok langsat tua di sekitarnya. Pokok jati yang seusia dengan Riezman megah berdiri, seolah menongkat langit. Batangnya besar 2 pemeluk orang dewasa. Sungguh gagah. Siti memandang kagum.

Perlahan kakinya mendekati pokok jati itu. Merasai lembut dengan jari halusnya, kulit pokok itu. Adakah sempat Riezman melihat pokok ini membesar. Hati Siti bertanya sendiri. Kalaulah jejaka itu sempat melihat, pastinya dia kagum. Kerana hadiah dari Tok Wan dan Mak Toknya megah berdiri. Pokok yang membesar bersama kenangan. Bersama harapan. Tiba-tiba mata Siti terhenti. Pandangannya tepat menghala ke batang pokok itu. Ada sesuatu yang terukir disitu. Ukiran bentuk hati. Dan di dalamnya terukir patah perkataan. Dengan hati yang berdebar, satu persatu dia membaca:

Tok Wan
Mak Tok
Siti.

Siti terdiam sejenak. Tanpa disedari, matanya mula berkaca. Dia menutup mulutnya dengan jari-jemari, menahan sebak dihati. Tanpa dipinta air matanya datang mengundang. Bibirnya mengetar menahan sendu. Dia tahu kini, dia dalam kenangan Riezman. Dan adakah dia juga gadis di hati jejaka itu?

1 comment:

hana said...

like...