Thursday, March 11, 2010

Di Persimpangan Kenangan (III)


Hari tetap berganti. Masa tetap berlalu. Sedangkan pantai pun berubah, inikan pula hati manusia. Itulah kata pujangga. Tapi tidak bagi Siti. Sudah hampir 5 bulan dia menjadi warga Sek. Men. Sains Tanjung. Dan bererti sudah hampir 5 bulan jugalah dia duduk bersebelahan Riezman. Namun pandangannya terhadap jejaka itu sikit pun tak berubah. Malah bertambah teruk jadinya.

Di antara mereka berdua tak pernah ada perbualan. Kalau bercakap pun hanyalah tentang hal-hal penting. Selalunya Sitilah yang bersuara dulu. Tapi Riezman hanya menjawab sepatah. Kadang-kadang langsung tiada reaksi. Siti hanya mampu mencebik geram!

Sikap dingin Riezman dan sikap keras hati Siti, menjadikan tembok batu di antara mereka berdua. Tembok yang tak siapa pun sangka akan roboh. Hanyalah kerana sebuah peristiwa. Peristiwa yang merubah segalanya. Peristiwa yang tak mungkin Siti lupakan.

"Siti... apasal duduk dalam gelap ni. You tak sihat ke...? " tanya Suria, mematikan lamunan. Serentak itu, Suria memetik suis lampu. Bersilau mata Siti bila terkena cahaya kalimantang. Bila pulak makcik ni balik, keluh Siti. Baju blouse biru Suria masih jelas kelihatan kesan basah titisan hujan.

"Eh... bila you balik? ", tanya Siti tanpa menjawab soalan Suria. Matanya masih dikerutkan, menahan silau lampu.

"Baru je tadi ", jawab Suria ringkas. " I ingatkan u dah kena kidnap dah.... ye la, dengan pintu tak berkunci... dengan rumah bergelap. Panggil you pun tak menyahut..." Suria menggeleng kepala melihat housematenya. Dan Siti hanya mampu tersengeh. Dia akui, dia terlalu leka mengimbau kenangan lama."Tu, nasi ayam untuk you ada kat dapur..." Tanpa menunggu reaksi dari Siti, terus Suria melangkah keluar.

"Su, thanks...!", sahut Siti girang. Memang baik housemate sorang ni. Kalau keluar, pasti ada saja makanan yang dibawa balik. Keinginan menjamah makanan yang dibawa Suria ditangguh seketika. Hatinya masih ingin melayan kenangan lama. Kerana selepas ini, segalanya tak mungkin diimbas lagi.

Bagaikan diari lama, sehelai demi sehelai kenangan Siti kembali menyelak. Mencari titik, di mana bermulanya peristiwa yang membuatkan Siti mula mengakui kata-kata Rozita, Fazilah dan Normah. Peristiwa yang mengajar Siti untuk menghakimi seseorang dengan mata hati. Peristiwa yang tak mungkin terjadi lagi. Masih jelas di kotak ingatannya, pagi itu entah mengapa Siti terasa kepalanya berat. Tapi digagahinya juga untuk ke sekolah. Entah apa yang memaksa dirinya untuk ke sekolah, Siti sendiri tak pasti.

"Siti, kenapa muka hang nampak pucat je...?", tegur Normah tiba-tiba.
"Ye la Siti," akui Fazilah. Tanpa disuruh, Normah terus meletakkan tangannya ke dahi Siti. Seketika kemudian Normah mengerutkan dahinya.
"Hang demam le Siti..".
"Baik hang jumpa Cikgu Zainon. Mintak ubat..", Fazilah memberi cadangan. Tapi Siti hanya tersenyum lesu.

"Alah, demam sikit je..." Siti buat seperti takde apa-apa berlaku. Padanya, setakat demam sikit-sikit tu, nanti pulih sendiri. Tak perlu ubat. Tambahan pula, Siti paling susah nak telan ubat. Jadi seboleh-bolehnya dia cuba untuk mengelak dari menelan biji-biji Panadol yang kecil sikit dari duit 5 sen itu.

Tak semua bara akan padam dengan sendirinya. Tak semua demam akan pulih tanpa ubatnya. Dalam masa yang singkat, demam Siti bertambah teruk. Peluh berjurai membasahi dahinya. Seolah-olah dia berada di tengah terik mentari. Tubuhnya pula menggigil kesejukan. Kepalanya terasa berat. Alam sekelilingnya bagaikan terumbang - ambing, laksana perahu di lautan yang bergelora. Tekaknya pula terasa loya. Segalanya serba tak kena. Apatah lagi untuk memberi tumpuan kelas Perakaunan Cikgu Faridah di depan.

Siti menyeluk poket baju kurungnya, mencari-cari sapu tangan. Tapi tak terjumpa. Ah, kenapa le masa ni boleh tertinggal! Siti mengetap bibirnya. Tiba-tiba tanpa dipinta Riezman menghulur sapu tangannya. Siti terpaku sejenak, memandang sapu tangan di tangan jejaka itu. Perlahan - lahan Siti mengangkat mukanya, memandang Riezman dengan tanda tanya. Siti beralih pandang ke arah anak mata Riezman. Ada sinar kebimbangan pada mata jejaka itu. Dan buat pertama kalinya, Siti dapat melihat jelas kehangatan di mata itu. Kehangatan yang tersembunyi di sebalik hati yang dingin. Perlahan tangan Siti mencapai sapu tangan bercorak petak putih dan hijau dari tangan Riezman. Tanpa sepatah kata Riezman terus mengalihkan pandangannya. Siti lantas menyua sapu tangan menutup mulutnya, menahan loya. Mata Siti dipejam seketika untuk cuba meredakan pening kepalanya. Namun nyata pening kepalanya bertambah berat.

Loceng berbunyi. Ahli kelas 4P1 mula bergerak keluar menuju ke makmal Fizik. Fazilah, Rozita dan Normah melangkah perlahan menuju ke meja Siti. Melihat teman-temannya datang, Siti melemparkan senyuman pahit dan terus bangun. Tapi belum pun sempat kedua kakinya tegak berdiri, Siti merasakan alam sekitarnya ligat berpusing. Badannya mula menggigil. Dan terus tubuhnya layu menyembah lantai. Fazilah menjerit!

Nyata Riezman lebih pantas bertindak. Tangannya cepat merangkul tubuh Siti. Menahan tubuh gadis itu dari terhempas ke lantai. Malangnya dia tersilap imbangan, dan terus rebah bersama Siti yang dalam dakapannya. Biar apa pun yang terjadi dia tidak mahu gadis itu tercedera. Dengan pelukan yang kemas dua insan itu jatuh terhempas ke lantai. Walaupun Siti tidak tercalar sedikit pun tapi Riezman mengalami kecederaan pada sikunya akibat terhentak ke lantai. Pelajar-pelajar 4P1 terus mengerumuni Riezman dan Siti. Masing-masing tertanya-tanya, apa yang telah terjadi.

"Ke tepi!" Riezman bersuara tegas. Pelajar-pelajar 4P1 mula beredar jauh sedikit, memberi ruang untuk Riezman dan Siti. Tanpa bersuara Riezman terus mendukung tubuh Siti. Membawa tubuh yang tak bermaya itu keluar kelas.

No comments: