Wednesday, August 13, 2008

Pemasar Kopi 'Radix' Pemenang Anugerah Perdana Menteri

Petikan laporan Bernama mengenai Anugerah Perdana Menteri MAHA 2008:

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Syarikat pemasar kopi 'Radix', HPA Industries Sdn Bhd hari ini dianugerahkan Anugerah Perdana Menteri Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008.

HPA Industries, yang beroperasi di Arau, Perlis menjalankan pemasaran produk makanan kesihatan, kosmetik dan barangan keperluan harian, selain mengusahakan tanaman pegaga, roselle dan mangga.

Dengan nilai jualan RM63 juta pada tahun lepas, HPA Industries berjaya menarik 400,000 keanggotaan dan 21,000 usahawan melalui pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan mempunyai 63 rangkaian pemasaran di seluruh negara dan lima di luar negara.

Selain dianugerahkan pemenang kategori yang baru diperkenalkan tahun ini itu, HPA Industries turut memenangi kategori Anugerah Pemasar Tani Jaya Kebangsaan 2008 yang menjadikan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000, selain sijil dan trofi, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di Serdang, dekat sini hari ini.

Pengarah Urusan HPA Industries Ismail Ahmad berkata pengiktirafan tinggi daripada kerajaan itu akan dijadikan sumber motivasi dalam mengembangkan perniagaannya, terutama bagi meluaskan pasaran eksport.

"Buat masa ini, kami masih terpaksa import roselle dari Sudan dan pegaga dari Indonesia, jadi kami akan cuba untuk mempunyai ladang roselle dan pegaga yang lebih luas untuk kurangkan kebergantungan ini," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu.

Mensasarkan keuntungan bernilai RM100,000 tahun ini, Ismail berkata kejayaan perniagaannya itu menunjukkan bahawa bidang pertanian dan industri asas tani sememangnya membawa keuntungan yang besar jika ia diusahakan dengan betul.


No comments: